Photobucket Photobucket Photobucket

Pendahuluan

Blog Kesusasteraan Bandingan Nusantara ini diwujudkan bagi mendedahkan tentang ilmu Kesusasteraan Bandingan. Landasan perincian blog ini merujuk kepada Siri Kuliah Sastera Bandingan Nusantara. Blog ini merupakan wadah rujukan yang efektif seiring dengan tuntutan zaman teknologi maklumat pada masa kini. Cetusan idea dalam blog ini dikongsi bersama oleh siswazah program sarjana kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 2009/2010. Kursus ini dikendalikan oleh Dr. Mawar Shafei.

Sinopsis Kursus SKMM 6053

Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada konsep-konsep berkenaan ilmu sastera bandingan. Tokoh-tokoh unggul yang berpaksikan kepada ilmu sastera bandingan dikaji serta dibincangkan. Antara kriteria tokoh yang disentuh dalam kursus ini adalah mereka yang membentangkan Siri Kuliah Sastera Bandingan yang dianjurkan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Antara tokoh yang dibicarakan adalah Prof. Madya Dr. Rattiya Saleh, Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Prof. Dr. Budi Darma.

Kursus ini memperlihatkan panorama kesusasteraan bandingan bagi negara-negara serantau. Segala permasalahan berkenaan Kesusasteraan Bandingan dinilai bagi tujuan perkongsian ilmu yang objektif serta saintifik. Pelajar diberikan kebebasan bagi memilih bidang komparatif untuk dikongsikan bersama. Hal ini bertujuan untuk melihat variasi setiap individu bagi pemantapan kolektif. Matlamat utama kursus ini adalah supaya pelajar mendapat pemahaman secara mendalam berhubung dengan wadah ilmu Kesusasteraan Bandingan.

Kesusasteraan Bandingan

Secara umumnya, Kesusasteraan Melayu merupakan ciptaan seni yang dinukilkan dalam bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk prosa ataupun puisi bagi mengimbangi perkembangan intelek, rohani, emosi, jasmani serta turut memaparkan nilai kemanusiaan dan citra masyarakat. Sastera turut memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi ataupun daya pengucapannya. Selain itu, kesusasteraan juga merujuk kepada karya-karya lisan serta tulisan yang membawa unsur-unsur cereka dan disampaikan melalui bahasa serta menggunakan pelbagai perkataan.

Dalam konteks kesusasteraan bandingan, ia merupakan satu disiplin ilmu dalam kajian kesusasteraan yang berkembang pada abad ke-19 di Eropah. Disiplin ini tercetus kesan daripada reaksi pengkaji sastera yang ekstrem terhadap perubahan semangat kebangsaan pada abad ke-18. Perkembangan kesusasteraan bandingan bergerak mengikut landasan teori dan pendekatan antara disiplin. Justeru, kesusasteraan bandingan bersifat global dan meliputi skop kajian yang luas, sesuai dengan tujuan kemunculannya iaitu untuk memahami kesusasteraan dengan mendalam dan saksama.